SEMANGAT BERPASUKAN

Oleh: DR. ISMAIL ZAIN

 

BEBERAPA sebab telah dikenalpasti kenapa semangat berpasukan yang amat dialu-alukan untuk diamalkan bagi setiap peringkat sama ada dalam bidang pekerjaan maupun dalam kehidupan seharian tidak dapat dilaksanakan.

 

Walau bagaimanapun setiap masalah sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.   Mengikut  Harvey Robbins & Michael Finley (1995) dalam buku mereka “Why Teams Don’t Work”,  individu tidak dapat bekerjasama disebabkan keperluan mereka adalah berbeza.

 

Kerapkali keperluan ini terselindung atau terbenam di lubuk hati masing-masing tanpa berpeluang untuk bersuara.  Adalah menjadi kewajipan bagi pihak yang berkiatan untuk memberi peluang anggota pasukannya menyuarakan segala keperluan masing-masing agar setiap anggota pasukan memahami keperluan serta dapat bertoleransi ke arah memenuhi keperluan sejagat.

 

Matlamat yang kabur serta objektif yang tidak tersusun menyebabkan anggota pasukan kehilangan arah dan tujuan dan pegangan.  Dalam hal ini setiap organisasi harus mempunyai matlamat serta misi yang jelas dan tepat.  Manakala objektifnya pula haruslah merupakan sesuatu hasilan yang dapat dicapai serta mudah difahami oleh semua anggota pasukan. 

 

Anggota pasukan juga tidak akan dapat bersatu sekiranya merkea tidak dapat menerima setiap keputusan yang dibuat oleh pihak yang berkenaan.  Keputusan yang dibuat mungkin berketepatan dengan keadaan tetapi salah dari segi pendekatannya.  Oleh yang demikian pendekatan serta strategi yang bersistematik dengan mengambil kira pelbagai faktor keperluan adalah di antara cara yang dapat memberi satu semangat berpasukan dalam menerima keputuan yang diberi.

 

Konflik di kalangan anggota pasukan adalah di antara faktor utama pupusnya semangat berpasukan.  Perkara ini harus dibendung dengan segera oleh pihak yang berkenaan. Analisis serta kajian terpeinci harus dibuat ke atas anggota pasukan dengan mengambilkira masalah yang dihadapi oleh mereka, keperluan, harapan, minat serta keutamaan yang berbeza.  Ini adalah bertujuan untuk merapatkan apa sahaja jurang perbezaan ke arah mengurangkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota pasukan.

 

Kewibaan seseorang pemimpin adalah diperlukan ke arah menyatupadukan anggota pasukannya.  Seorang pemimpin harus memahami serta dapat melayani setiap masalah dan keperluan anggota pasukannya. Ia juga harus mempunyai cirri-ciri peribadi seperti sabar, tidak mudah putus asa, jiwa yang murni, harga diri yang tinggi, tidak mudah terpengaruh, tegas serta bersifat penyayang.

 

Setiap individu  itu sudah tentu mempunyai pelbagai ragam dan kerenah yang sukar dilayani sepenuhnya.   Tetapi setiap individu juga mempunyai hati dan perasan yang boleh diselami ke arah sesuatu perubahan yang diingini selagi akal dan fikiran yang diberikan oleh Allah digunakan dengan sebijak mungkin.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat.”