KAUNSELING

Kerjaya polis : Dunia disiplin dan peraturan

17/06/2005 12:03 p.m.

Bersama MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN

KERJAYA polis ialah menjaga keselamatan, ketenteraman dan keamanan rakyat dan negara.

Mereka yang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha mengatasi masalah jenayah yang meningkat dari semasa ke semasa.

Kerjaya ini dapat membentuk disiplin diri individu kerana ia mementingkan disiplin dan peraturan.

Disiplin yang diterapkan dalam latihan akan menghindarkan anggota polis daripada perbuatan yang melanggar undang-undang.

Sebelum memasuki perkhidmatan ini, calon-calon perlu mengikuti latihan dalam jangka masa tertentu.

Misalnya bagi jawatan konstabel latihan yang perlu diikuti selama 12 bulan.

Ramai yang menjadi anggota polis kerana meminati bidang ini sejak kecil atau menerima dorongan keluarga. Walaupun ia merupakan kerjaya yang mencabar tetapi kerjaya ini sememangnya diperlukan oleh negara dari semasa ke semasa.

Bidang pertahanan awam ini memerlukan individu yang berani, bersemangat tinggi serta mempunyai daya tahan yang kental.

Pasukan PDRM merupakan satu perkhidmatan keselamatan yang besar di negara ini.

Pada masa ini terdapat 85,000 orang pegawai dan anggota yang berkhidmat di seluruh negara.

Maka tidak hairanlah banyak prospek di bidang ini dan sentiasa terbuka bagi anda atau pelajar lain untuk menceburinya.

Mereka yang menceburi bidang ini akan mendapat banyak faedah termasuk gaji elaun dan kemudahan pinjaman serta kenaikan pangkat.

Calon-calon yang dilantik sebagai Asisten Superintendan Polis (ASP) misalnya akan ditawarkan gaji dan elaun permulaan melebihi RM2,000, manakala inspektor akan ditawarkan pendapatan melebihi RM1,500.

Kerjaya di bidang ini sentiasa terbuka kepada anda. Di PDRM anda boleh menyertai Pasukan Gerak Am, Komunikasi, Teknologi Maklumat, Unit Berkuda, Unit Udara, Trafik, Pengangkutan, Unit Tindakan Khas, Cawangan Kereta Perisai, Persenjataan, Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Narkotik, cawangan Khas, Jabatan Logistik, Cawangan Perhubungan Awam, Unit Pengesan, Pancaragam, Polis Pelancong dan Unit Pencegahan Penyeludupan.

CIRI-CIRI PERIBADI DIPERLUKAN

(i) Meminati profesion ini

(ii) Berani dan bersemangat tinggi

(iii) Berdaya tahan yang kental

(iv) Berumur 18 hingga 26 tahun

(v) Ketinggian sekurang-kurangnya 1.65 meter bagi lelaki dan 1.60 meter bagi wanita.

(vi) Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 47.6 kg (lelaki) dan 46.2kg (wanita).

(vii) Mempunyai ukuran dada yang biasa 81 cm dan 86 cm semasa menarik nafas (lelaki sahaja).

(viii) Mempunyai daya penglihatan V6/9 bagi kedua-dua bela mata tanpa cermin mata (Kadet ASP dan inspektor kelonggaran diberi sehingga V6/12)

(ix) Pengecaman warna yang baik

(x) Tidak cacat pendengaran

SYARAT MENCEBURI BIDANG INI

Untuk bekerja sebagai anggota polis sama ada di peringkat konstabel tambahan, konstabel, inspektor atau kadet ASP, calon-calon mestilah menamatkan latihan dengan jayanya dalam tempoh yang ditetapkan oleh PDRM.

SYARAT MENGIKUTI LATIHAN

Dalam perkhidmatan ini, terdapat pelbagai peringkat jawatan yang boleh disandang. Sebelum menyandang jawatan tertentu, calon-calon perlu mengikuti latihan yang telah ditetapkan dan memiliki kelayakan-kelayakan tertentu mengikut jawatan yang dipohon. Misalnya, bagi jawatan kadet ASP, calon-calon perlu memiliki ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam sebarang bidang pengajian yang diiktiraf oleh kerajaan. Selain itu, calon-calon perlu lulus kepujian Bahasa Melayu termasuk lulus ujian lisan pada peringkat SPM atau yang setaraf dengannya.

Bagi jawatan inspektor, calon-calon perlu lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau diploma dari universiti awam tempatan yang diiktiraf kerajaan serta mendapat kepujian Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian lisan) di peringkat SPM atau yang setaraf dengannya. Jawatan konstabel pula memerlukan calon lulus SPM serta kepujian dalam Bahasa Malaysia (termasuk lulus ujian lisan). Manakala bagi jawatan konstabel tambahan, calon-calon hanya perlu tamat tingkatan 3 di samping boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu dengan memuaskan.

Walau bagaimanapun, setiap anggota dalam perkhidmatan polis ini berpeluang untuk dinaikkan pangkat. Untuk tujuan itu, anggota akan dinilai berdasarkan tempoh perkhidmatan, kecemerlangan yang baik. Kerjaya ini mempunyai banyak keistimewaan. Selain gaji pokok, terdapat pelbagai elaun termasuk imbuhan tetap khidmat polis, elaun perumahan serta insentif-insentif lain yang menarik.

TEMPAT MELANJUTKAN LATIHAN

Sebenarnya tidak ada universiti/IPT tempatan yang menawarkan bidang ini secara khusus. Walau bagaimanapun, syarat atau kelulusan yang disebutkan di atas merupakan kelulusan akademik yang diperlukan dalam syarat pelantikan.

Latihan khusus akan diikuti apabila calon terpilih sebagai anggota polis sama ada sebagai kadet ASP, inspektor, konstabel atau konstabel tambahan. Jika terpilih, pelatih akan menjalani latihan kursus asas selama 12 bulan di pusat-pusat latihan polis bagi mempelajari udang-undang, sains kepolisan, kawad persenjataan, latihan jasmani termasuk seni mempertahankan diri. Pelatih juga akan menjalani latihan amali di mana-mana balai polis daerah selama sembilan bulan.

Selepas menamatkan latihan, pelatih akan menjalani tempoh percubaan selama tiga tahun dari tarikh mula berkhidmat sebelum disahkan dalam jawatan.

MAKLUMAT LANJUT

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerjaya ini, hubungi Cawangan Perhubungan Awam, PDRM, 50560 Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tel: 03-22626297 atau 22626300 atau layari laman web PDRM di alamat www.rmp.gov.my. Borang permohonan atau kemasukan akan diiklankan oleh ibu pejabat PDRM dari semasa ke semasa dalam akhbar-akhbar utama.