BERITA

Matematik : Senario aneh di Malaysia

17/06/2005 12:03 p.m.

Oleh WAHID HASHIM


ILUSTRASI Oleh Khazim

KENAPAKAH di Malaysia terdapat hubungan ketara antara pencapaian matematik dengan jantina, sedangkan ia tidak berlaku di kebanyakan negara membangun dan maju lain di dunia?

Senario ini berlaku di institusi pengajian tinggi dan persekolahan.

Ketidakseimbangan itu mencakupi aspek kualiti dan kuantiti.

Ia menimbulkan kebimbangan akan jurang yang kian melebar pada masa depan.

Dari segi pencapaian kertas matematik - sama ada kertas tambahan atau teras - sedikit demi sedikit, pelajar lelaki kian kurang upaya dan tidak lagi dominan di sekolah dan universiti.

Satu kajian yang dijalankan mengenai pencapaian pelajar bagi 38 buah negara seperti yang terdapat dalam laporan Third International Mathematics and Science Study mendapati pencapaian matematik dan sains yang dijalankan mendapati negara-negara Asian mendahului dalam pencapaian kedua-dua kursus itu.

Dari segi perbezaan pencapaian dalam matematik mengikut jantina, kebanyakan negara menunjukkan tidak terdapat perbezaan antara pelajar perempuan dan lelaki dalam pencapaian matematik.

Hanya empat buah negara menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi pencapaian matematik dengan jantina.

Di Malaysia, statistik tidak segan silu lagi membuktikan memang pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam bidang matematik.

Di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar perempuan menunjukkan pencapaian yang lebih baik dalam kertas Matematik Teras dengan 44.1 peratus mencapai keputusan yang cemerlang berbanding pelajar lelaki (21.9 peratus).

Namun begitu, tidak banyak beza antara pencapaian kedua-dua jantina dalam kertas Matematik Tambahan (1.8 peratus lelaki dan 2.4 peratus perempuan).

Pelajar perempuan yang mendapat kepujian dalam matematik kalkulus juga tinggi (31.7 peratus) berbanding pelajar lelaki (13.6 peratus).

Di sebalik itu, pelajar perempuan juga merupakan kumpulan pelajar yang paling ramai tidak mengambil kertas Matematik Tambahan di peringkat SPM iaitu 17.5 peratus.

Keputusan peperiksaan matematik kalkulus di peringkat diploma juga menunjukkan peratusan pelajar gagal adalah agak tinggi iaitu sebanyak 40.2 peratus.

Peratusan pelajar yang gagal mencapai tahap minimum (C, C-, D+, D, F) adalah tinggi iaitu 65.2 peratus.

Peratusan pelajar yang memperoleh gred yang baik ( (A, A-, B+) adalah agak rendah iaitu sebanyak 13.6 peratus sahaja.

Dari segi jantina pula, pencapaian pelajar lelaki dan perempuan dalam peperiksaan matematik kalkulus di peringkat diploma adalah berbeza-beza.

Pelajar perempuan mendapat gred yang baik (9.5 peratus) adalah lebih ramai berbanding pelajar lelaki (4.2 peratus).

Senario pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar lelaki merupakan satu pemandangan biasa di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dapatan kajian juga menunjukkan bilangan pelajar perempuan jauh melebihi pelajar lelaki dengan nisbah 70:30 dan pelajar perempuan mendominasi bagi setiap program diploma yang mengambil kursus matematik kalkulus.

Satu kajian yang dibentangkan pada Simposium Kebangsaan Sains Matematik di Alor Setar, Kedah baru-baru ini juga mendapati, bagi tujuh buah sekolah yang dikaji, didapati jantina merupakan faktor yang mempunyai kaitan dengan pencapaian matematik pelajar.

Pelajar perempuan mempunyai peluang yang lebih berbanding pelajar lelaki untuk cemerlang dalam matematik, iaitu dianggarkan sebanyak 1.5 kali ganda.

Fenomena ini dikhuatiri akan melarat sehingga ke tempat kerja.

Jika ini berlaku, lelaki mungkin sukar untuk mendapat kerja.