PENENTUAN MATLAMAT
[Selamat Pagi Cikgu - Utusan
Malaysia]
SETIAP individu mempunyai matlamat hidup
masing-masing. Jika ditanya apakah matlamat hidup kita, seorang
peniaga akan mengatakan matlamatnya ialah untuk maju dalam
perniagaannya. Seorang guru akan mengatakan agar ia dapat
meningkatkan prestasi pelajar-pelajarnya dan seorang pelajar pula
akan mengatakan tentang harapannya untuk beroleh kecemerlangan dalam
pelajarannya.
Sejauhmanakah matlamat itu akan tercapai? Semua
matlamat yang dinyatakan di atas ialah matlamat jangka panjang iaitu
suatu hasil daripada tindakan yang dilakukan.
Tetapi pada saya mempunyai matlamat jangka
panjang sahaja belum tentu kita akan dapat merealisasikannya. Apa
yang saya hendak berkongsi pengalaman dengan para pembaca hari ini
ialah setiap individu perlu juga mempunyai matlamat jangka pendek
iaitu merupai tindakan serta keperluan yang harus dilaksanakan
setiap hari.
Matlamat jangka pendek ialah segala tindakan
yang kita perlu ambil setiap hari demi untuk memenuhi matlamat
jangka panjang kita iaitu ke arah kecemerlangan.
Jika ia seorang ahli perniagaan, ia perlulah
mempunyai satu matlamat bagi setiap hari atau minggu atau bulan.
Contohnya seorang ahli perniagaan akan menyusun satu jadual atau
pelan yang menunjukkan jumlah dan target barangan yang perlu dijual
serta pelanggan-pelanggan yang perlu ditemui untuk tujuan urusniaga.
Bagi seorang guru mereka mempunyai rancangan
mingguan dan harian yang menjadi panduan ke arah melaksanakan
tugasan mereka dalam proses pembelajaran di bilik darjah. Rancangan
inilah yang merupakan matlamat jangka pendek bagi seorang guru ke
arah memenuhi matlamatnya untuk melahirkan anak-anak didik yang
cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Bagaimanakah pula dengan seorang pelajar?
Menetapkan satu matlamat di akhir persekolahan adalah sesuatu yang
baik kerana ianya merupakan satu destinasi dalam penentuan arah
kehidupan.
Tetapi matlamat ini terlalu umum dan tidak
mungkin tercapai sekiranya kita tidak berusaha memperolehinya.
Setiap usaha memerlukan perancangan sama ada harian atau mingguan
dan ianya merupakan satu keperluan bagi kita.
Perancangan dan keperluan inilah yang kita
namakan sebagai matlamat jangka pendek seperti kata pepatah melayu,
"Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Ianya merupakan satu
susunan kerja yang perlu kita lakukan dan mencapainya setiap minggu
secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit ke arah kejayaan
diri.
Sebagai contoh matlamat-matlamat jangka pendek
ini boleh dibuat dalam bentuk seperti berikut:-
-
Jadual kerja: Jadual kerja adalah merupakan
satu jadual masa yang menyenaraikan segala kerja sama ada yang
berkaitan dengan kegiatan kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah
ataupun kerja-kerja yang kita rancang sendiri. Jadual ini akan
memberi satu maklumat kepada pelajar-pelajar tentang apa yang
harus dilakukan dan dicapai pada hari tersebut.
-
Lembaran Analisis Pelajaran: Ianya merupakan
satu helaian yang memuatkan topik-topik bagi satu-satu mata
pelajaran yang tertentu yang telah diajar oleh guru sepanjang
minggu. Di dalam helaian ini pelajar-pelajar akan mencatat
perkara-perkara yang mereka masih tidak faham dan menetapkan satu
target masa untuk menyelesaikannya.
Melalui Jadual Kerja dan Lembaran Analisis
Pelajaran, pelajar-pelajar akan sentiasa mempunyai satu matlamat
jangka pendek dalam proses pembelajaran. Matlamat inilah yang
merupakan tindakan-tindakan yang harus diambil dalam menyelesaikan
satu-satu tugasan.
Memenuhi matlamat jangka pendek adalah jalan ke
arah mencapai matlamat jangka panjang. Sesungguhnya seorang yang
mempunyai matlamat jangka pendek yang jelas serta berusaha
mencapainya adalah lebih baik daripada seorang yang mempunyai
matlamat jangka panjang tetapi tidak berusaha untuk membuat
perancangan dan tindakan untuk mencapainya.
Matlamat jangka pendek adalah merupakan jambatan
emas ke arah memenuhi matlamat jangka panjang. Manakala matlamat
jangka panjang akan terus menjadi satu angan-angan sekirannya ianya
tidak disusuli dengan tindakan.