KAUNSELING

Taiko samseng : Insaf bersama Islam

17/05/2005 11:55 a.m.

Oleh MARZITA ABDULLAH


MOHD HASSAN BAIDURI ABDULLAH

MOHD Hassan Baiduri Abdullah, 46, berasal dari Perak, dahulunya bukanlah calang-calang orang di sekitar Ipoh.

Pada usia 17 tahun dia `diangkat' sebagai ketua Kumpulan 21, dia dikenali sebagai `taiko', menggantikan tempat abangnya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Ketika itu dia bukan Mohd Hassan, dia hanya dikenali taiko, belum mengenali Islam malah tidak ambil tahu tentang perkara itu sementelah dilahirkan dalam keluarga beragama Hindu.

Memimpin kumpulan samseng yang digeruni di Perak, Hassan merasakan dirinya seolah-olah Tuhan kerana berkuasa mengarah anggotanya melakukan apa sahaja.

Lebih 300 orang menganggotai kumpulan ini, terdiri daripada remaja berusia 13 tahun sehinggalah 35 tahun yang berasal sekitar Ipoh, Chemor, Tronoh dan Kampar.

Alkohol, ganja, judi dan perempuan adalah perhiasan hidup mereka setiap hari selain menjalankan tugas-tugas sebagai pembunuh upahan.

Menceritakan latar belakang hidupnya, Hassan berkata, ia bermula dengan alkohol yang digelarnya `dadah halal' semasa di tingkatan tiga.

Namun dia mula mengenali ganja daripada bapa dan abang-abangnya ketika usianya 10 tahun, setelah bapanya mengajar cara-cara menggulung ganja.

Bermula menjadi orang suruhan bapanya menghantar ganja pada orang lain dengan upah RM1, dia kemudian mula menjual sendiri apabila kawan bapanya datang membeli, ketika bapanya tiada di rumah.

Dia lebih suka kerja barunya kerana mendapat upah lebih tinggi iaitu RM2 yang dianggap amat lumayan.

``Upah itu saya kumpul, kemudian saya belanja kawan-kawan makan ais kepal, masa itu saya rasa seronok kerana saya orang yang paling banyak duit,'' katanya.

Menyingkap kembali ketika era dia menjadi `taiko', Hassan merasakan itu adalah cara hidup yang sempurna.

Bangga kerana ahli yang lebih tua memanggil dia `taiko', semuanya menurut perintah malah tugasnya lagi bukan menjual ganja sebaliknya lebih kepada menyempurnakan tugas sebagai pembunuh upahan.

Hassan sendiri pernah menerima tugas membunuh tapi takdir Tuhan menentukan nyawa orang itu bukan di tangan Hassan.

Walaupun Hassan telah menikam orang berkenaan sebanyak tiga kali tetapi orang itu tidak mati.

Namun cara hidupnya ketika itu hanya berkisar pada alkohol, ganja, judi dan perempuan tetapi bukan dadah heroin.

``Kami tidak membenarkan penagih dadah memasuki kawasan kami malah akan memukul mereka,'' katanya

Namun kegiatan dapat dihidu pihak berkuasa menyebabkan keluarganya bimbang dan bapanya memberi RM30 dan tiket keretapi untuk ke Singapura.

Di Singapura dia bekerja di sebuah syarikat perkapalan dan di sini dia bergaul dengan rakan setugas dari negara seberang yang membekalkan ganja dikenali sate dengan harga cuma RM5.50.

Bermula dengan sate, dia terperangkap dengan dadah jenis heroin iaitu pada tahun 1979 dari kawan yang berasal dari Batu Pahat.

`` Penangan heroin memang teruk, dia punyai `kick' tidak boleh diungkap dengan kata-kata,'' katanya.

Menurut Hassan, seorang penagih mempunyai banyak idea untuk mencari duit justeru dia sentiasa ada duit malah dapat mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya pada tahun 1984 Hassan yang pulang ke Malaysia untuk memperbaharui pasportnya, ditangkap oleh polis ketika sedang menggunakan dadah tersebut namun bapanya menjamin dia sebanyak RM1,000.

Dia sentiasa bernasib baik kerana penguatkuasaan yang longgar Hassan yang sepatutnya dalam perhatian polis (PS) dapat masuk semula ke Singapura.

Namun lagi sekali dia bernasib malang apabila pihak berkuasa Singapura menjalankan serbuan anti narkotik di tempat dia bekerja, Marina Square, Tanjung Rhu.

Dia ditahan dan selepas ujian air kencing dia dibebaskan, pulang kembali ke Malaysia tetapi tidak dibenarkan memasuki Singapura.

Namun dia terus menjalankan aktiviti di Johor dan pada 1985 sekali lagi dia ditangkap di Kebun Teh kerana menjual dadah jenis heroin bersama-sama tiga yang lain dan salah seorang adalah ketua sebuah kumpulan.

Semasa ditahan keempat-empat mereka mengadakan perjanjian iaitu Hassan akan mengakui memiliki kesemua dadah seberat 300 gm itu dan mereka bertiga akan bebas dan membantu Hassan dari luar.

Keistimewaan bagi anggota sesebuah kumpulan iaitu kesetiaan kepada perjanjian, Hassan yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memiliki 300 gm tetapi pertuduhan yang dibaca hanya memiliki 0.03 gm dadah.

Hassan bebas dan kemudian bertemu semula dengan tiga orang berkenaan, dia diberi RM500 dan satu peket heroin, ganjaran atas kesanggupannya mengaku memiliki heroin itu pada pihak berkuasa.

Dua minggu selepas dibebaskan dia balik ke Ipoh iaitu pada tahun 1986 dan pada masa ini dia semakin agresif menjalankan kegiatan meragut, mencuri duit ibunya dan barang kemas milik adiknya.

Namun pada hujung tahun 1986 Hassan membuat keputusan drastik yang turut memeranjatkan dirinya iaitu dia menyerah diri.

Dia membuat keputusan itu diri kerana dirinya sentiasa rasa gelisah dan tidak tenteram terhadap kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

``Pandang polis takut, tengok orang pun takut macam orang tu nak balas dendam pada kita,'' katanya.

Kerana sering diburu kegelisahan itu Hassan meminta bantuan bapa saudaranya yang kemudian memasukkannya ke sebuah pusat pemulihan secara `detox' di Tanjung Rambutan.

Bagi Hassan rawatan sedemikian adalah cara yang terbaik untuk mengurangkan rasa gian terhadap penagih dadah.

``Berada di sana selama dua minggu rasa seronok pula tengok orang gila,'' katanya.

Namun apabila dia keluar, perkara pertama yang dilakukan ialah kembali mengambil alkohol dan terus kepada kegiatan lain.

Katanya, seorang penagih dadah akan tertarik pada apa sahaja bahan yang bersifat `mind changing chemical' yang mampu membawa mereka ke dunia khayalan seperti petrol, gam atau `thinner'.

Sekali lagi Hassan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah kali ini di Bukit Mertajam selama 11 bulan kemudian pada 1987 dia terpilih ke Pusat Jagaan Lanjutan Petaling Jaya selama dua bulan.

Semasa di pusat tersebut, setiap pelatih diberi peluang untuk membuat kerja-kerja sosial seperti memotong rumput dan membersihkan longkang.

``Ruang waktu yang selesa itu memberi kesempatan kepada saya dan rakan-rakan untuk mendapatkan bekalan,'' katanya.

Tetapi jiwa Hassan memang mahu terus membuang tabiat menghisap dadah justeru dia hanya membeli rokok kerana menganggap ia adalah alternatif terbaik untuk berkhayal.

Pada tahun 1989 dia menyertai Pertubuhan Bantuan Sosial Sang Kancil (SKOSS) yang pada ketika itu terletak di Paya Jaras Hilir, Selangor.

Tempat inilah berjaya merubah pemikiran dan hidup Hassan, dia mulai mengenali dirinya melalui pergaulannya dengan rakan-rakan dan masyarakat setempat.

``Saya pegang prinsip...one is too many a thousand will never enough...di sini saya tahu saya tidak boleh sama sekali mendekati alkohol, menyentuh alkohol bermakna saya mendedahkan diri saya kepada jurang kemaksiatan yang lain,'' katanya.

Bagi membuktikan bahawa dia benar-benar berpegang pada janji itu, Hassan menghadiri suatu majlis keramaian keluarga, dia dipujuk menghirup sedikit sahaja alkohol namun dia berjaya melawan pujukan itu.

Pada tahun 1992 dengan petunjuk dan hidayah dariNya dia mengucap kalimah syahadah di SKOSS setelah melihat dan mengalami sendiri kehidupan dalam erti kata muslim yang sejati.

``Hati saya tertarik dengan kelembutan orang-orang tua di SKOSS mereka panggil saya anak, mereka beri salam walaupun saya berlainan agama,'' katanya.

Namun yang paling menarik hati Hassan terhadap agama itu ialah melihat kejernihan dan keceriaan wajah-wajah rakannya setiap kali mereka selesai mengerjakan solat.

``Sebelum itu saya memang sudah belajar berpuasa dan semasa puasa mereka ajar saya bersabar, saya belajar bersabar sampai menggigil badan saya,'' katanya.

Dengan Islam dia mengenali erti kasih sayang, kasihan sesama insan dan berlemah lembut.

Tuhan itu Maha Pengasih, pada 1994 Dia mempertemukan jodoh Hassan dengan seorang ibu tunggal malah bapa mertuanya turut membantunya membina kehidupan baru dengan memberi modal untuk berniaga.

Kini Hassan hidup bahagia bersama-sama isteri dan enam anak lelakinya malah dia turut membantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan ceramah mengenai bahaya dadah.

Kata Hassan, dia bukan orang yang layak memberi nasihat, apa yang dilakukan hanya menceritakan kepada masyarakat terutama golongan remaja betapa peritnya hidup berteman dadah.