Make your own free website on Tripod.com
 KAUNSELING

Perancang bandar dan wilayah : Kerjaya yang mencabar dan menarik

22/04/2005 12:47 p.m.

Bersama MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN

PEMBUKAAN dan pembangunan sesuatu kawasan seperti bandar-bandar baru dan kawasan-kawasan penempatan memerlukan perancangan, susun atur serta pelan yang sistematik. Ini bertujuan mengelakkan sesebuah kawasan yang dibangunkan itu mendatangkan masalah dalam jangka panjang seperti kesesakan , pencemaran serta pembangunan persekitaran yang tidak teratur.

Mereka yang terlibat secara langsung dengan tugas yang berat lagi mencabar ini ialah jururancang bandar dan wilayah. Apakah sebenarnya tugas sebagai jururancang bandar dan wilayah? Pekerjaan ini merangkumi penyediaan pelan-pelan pembangunan kawasan-kawasan bandar, wilayah atau kawasan luar bandar.

Mereka juga terlibat dalam penyediaan pelan-pelan tempatan yang lebih terperinci yang sangat diperlukan untuk kawalan pembangunan. Selain itu, sebagai perancang mereka bertanggungjawab menterjemah dasar dan aspirasi kerajaan ke dalam pembangunan penempatan supaya selesa didiami rakyat.

Dalam menjalankan tugasnya seorang jururancang dibantu oleh pembantu teknik dalam kerja-kerja seperti melukis dan mewarna pelan, membuat kajian tapak, mengumpul dan memproses data serta lain-lain kerja berkaitan.

Kursus perancangan bandar dan wilayah yang ditawarkan di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan bertujuan melatih dan mengeluarkan jururancang bandar dan wilayah yang diperlukan negara. Selain itu, ia bertujuan membentuk dan memperkembangkan suatu rangka pendidikan yang sesuai dengan keperluan dan aspirasi negara pada masa kini dan akan datang.

Semasa pengajian pelajar akan didedahkan berkaitan bidang ini termasuk teori perancangan, prinsip dan amalan, undang-undang, teknik-teknik perancangan, mereka bentuk serta pengetahuan asas perancangan. Pengajian ini juga menitikberatkan tentang kefahaman yang berkaitan perancangan seperti aspek geografi, alam sekitar, ekonomi, kejuruteraan, ukur tanah, pengurusan serta sains asas.

Pelajar tidak perlu bimbang dengan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di bidang ini. Ini kerana lulusannya mempunyai peluang kerjaya yang baik di mana pelajar boleh bekerja di jabatan atau agensi kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Bandar, Dewan Bandaraya, majlis-majlis perbandaran, Perbandaran Pembangunan Bandar (UDA), serta Lembaga Kemajuan dan Pembangunan Wilayah. Selain itu lulusan di bidang ini boleh berkhidmat dengan firma-firma swasta di bidang perancangan dan pelaburan harta benda.

CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN

(i) Meminati bidang ini

(ii) Meminati mata pelajaran Matematik

(iii) Kemahiran melukis

(iv) Memiliki daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi

(v) Berminat dalam kerja-kerja merancang

(vi) Boleh bekerja di luar pejabat atau di lokasi

SYARAT MENCEBURI BIDANG INI

Pelajar-pelajar yang berminat menceburi kerjaya ini sebagai jururancang bandar dan wilayah, perlu memiliki ijazah di bidang ini sama ada dari universiti/IPT dalam atau luar negara. Selain itu, sebagai satu kerjaya bertaraf profesional, ijazah yang diperoleh itu perlu mendapat pengiktirafan dari pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP).

TEMPAT MELANJUTKAN PENGAJIAN

Pada masa ini Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kursus ini di peringkat integrasi di bawah Fakulti Alam Bina. Tempoh pengajian di UTM ialah antara 3 hingga 4 tahun. Pengajian di peringkat diploma ialah tiga tahun. Selepas tiga tahun sekiranya pelajar lulus cemerlang, pelajar akan ditawarkan ke peringkat sarjana muda untuk tempoh setahun lagi. Integrasi ialah satu program sepaduan antara peringkat diploma dan sarjana muda. Manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur menawarkannya di peringkat sijil, diploma dan sarjana muda. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) juga menawarkan program ini di peringkat sarjana muda. Politeknik Kementerian Pendidikan menawarkan kursus ini tetapi hanya di peringkat sijil.

Di UiTM, tempoh pengajian ialah 2 tahun bagi peringkat sijil dan 3 tahun di peringkat diploma. Tempoh pengajian di peringkat sarjana muda pula ialah dua tahun selepas pelajar memperoleh diploma.

SYARAT KEMASUKAN YANG DIPERLUKAN

UTM dan UiTM mengambil pelajar lepasan SPM dan SPMV. UTM mengenakan syarat iaitu pelajar perlu lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian dalam mata pelajaran yang ditetapkan termasuk Bahasa Melayu dan Matematik. Mereka yang mendapat kepujian Bahasa Melayu akan diberi keutamaan.

Syarat untuk melanjutkan pengajian ke UiTM adalah mengikut peringkat pengajian. Di peringkat sijil, pelajar perlu lulus SPM serta lulus Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan kepujian dua mata pelajaran lain. Di peringkat diploma, pelajar perlu lulus SPM serta lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kepujian Matematik dan kepujian tiga mata pelajaran lain. Selain itu, pelajar yang memiliki sijil Perancangan Bandar dan Wilayah dari UiTM atau politeknik Kementerian Pendidikan juga boleh memohon ke peringkat diploma.

UiTM juga mengambil calon-calon lepasan STPM. Calon perlu lulus SPM serta kepujian dalam Matematik dan lulus Bahasa Inggeris. Di samping itu, perlu lulus sekurang-kurangnya tiga prinsipal yang baik termasuk. Pengajian Am. Calon juga perlu lulus temu duga yang dikehendaki oleh UiTM.

USM pula memerlukan calon lulus STPM dengan mendapat prinsipal C Pengajian Am serta dua prinsipal C daripada matapelajaran Fizik, Biologi, Ekonomi, Geografi, Sejarah, Seni Visual atau Matematik. Calon juga perlu lulus kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia di peringkat SPM.

Manakala bagi pelajar yang berminat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah, perlulah lulus Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah dari UiTM atau UTM.

Bagi mengikuti pengajian ini di UIAM, calon perlu lulus SPM/SPMV dan mendapat enam kepujian termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan Pendidikan Islam untuk ditawarkan ke peringkat matrikulasi. Selepas lulus, calon akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda.