 |
BERITA |
Matematik : Senario aneh di Malaysia17/06/2005 12:03 p.m.
Oleh WAHID HASHIM
 ILUSTRASI Oleh Khazim
KENAPAKAH di Malaysia terdapat hubungan ketara antara
pencapaian matematik dengan jantina, sedangkan ia tidak
berlaku di kebanyakan negara membangun dan maju lain di
dunia?
Senario ini berlaku di institusi pengajian tinggi dan
persekolahan.
Ketidakseimbangan itu mencakupi aspek kualiti dan
kuantiti.
Ia menimbulkan kebimbangan akan jurang yang kian melebar
pada masa depan.
Dari segi pencapaian kertas matematik - sama ada kertas
tambahan atau teras - sedikit demi sedikit, pelajar lelaki
kian kurang upaya dan tidak lagi dominan di sekolah dan
universiti.
Satu kajian yang dijalankan mengenai pencapaian pelajar
bagi 38 buah negara seperti yang terdapat dalam laporan Third
International Mathematics and Science Study mendapati
pencapaian matematik dan sains yang dijalankan mendapati
negara-negara Asian mendahului dalam pencapaian kedua-dua
kursus itu.
Dari segi perbezaan pencapaian dalam matematik mengikut
jantina, kebanyakan negara menunjukkan tidak terdapat
perbezaan antara pelajar perempuan dan lelaki dalam pencapaian
matematik.
Hanya empat buah negara menunjukkan perbezaan yang ketara
dari segi pencapaian matematik dengan jantina.
Di Malaysia, statistik tidak segan silu lagi membuktikan
memang pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam bidang
matematik.
Di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar
perempuan menunjukkan pencapaian yang lebih baik dalam kertas
Matematik Teras dengan 44.1 peratus mencapai keputusan yang
cemerlang berbanding pelajar lelaki (21.9 peratus).
Namun begitu, tidak banyak beza antara pencapaian kedua-dua
jantina dalam kertas Matematik Tambahan (1.8 peratus lelaki
dan 2.4 peratus perempuan).
Pelajar perempuan yang mendapat kepujian dalam matematik
kalkulus juga tinggi (31.7 peratus) berbanding pelajar lelaki
(13.6 peratus).
Di sebalik itu, pelajar perempuan juga merupakan kumpulan
pelajar yang paling ramai tidak mengambil kertas Matematik
Tambahan di peringkat SPM iaitu 17.5 peratus.
Keputusan peperiksaan matematik kalkulus di peringkat
diploma juga menunjukkan peratusan pelajar gagal adalah agak
tinggi iaitu sebanyak 40.2 peratus.
Peratusan pelajar yang gagal mencapai tahap minimum (C, C-,
D+, D, F) adalah tinggi iaitu 65.2 peratus.
Peratusan pelajar yang memperoleh gred yang baik ( (A, A-,
B+) adalah agak rendah iaitu sebanyak 13.6 peratus sahaja.
Dari segi jantina pula, pencapaian pelajar lelaki dan
perempuan dalam peperiksaan matematik kalkulus di peringkat
diploma adalah berbeza-beza.
Pelajar perempuan mendapat gred yang baik (9.5 peratus)
adalah lebih ramai berbanding pelajar lelaki (4.2
peratus).
Senario pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar
lelaki merupakan satu pemandangan biasa di Universiti Putra
Malaysia (UPM).
Dapatan kajian juga menunjukkan bilangan pelajar perempuan
jauh melebihi pelajar lelaki dengan nisbah 70:30 dan pelajar
perempuan mendominasi bagi setiap program diploma yang
mengambil kursus matematik kalkulus.
Satu kajian yang dibentangkan pada Simposium Kebangsaan
Sains Matematik di Alor Setar, Kedah baru-baru ini juga
mendapati, bagi tujuh buah sekolah yang dikaji, didapati
jantina merupakan faktor yang mempunyai kaitan dengan
pencapaian matematik pelajar.
Pelajar perempuan mempunyai peluang yang lebih berbanding
pelajar lelaki untuk cemerlang dalam matematik, iaitu
dianggarkan sebanyak 1.5 kali ganda.
Fenomena ini dikhuatiri akan melarat sehingga ke tempat
kerja.
Jika ini berlaku, lelaki mungkin sukar untuk mendapat
kerja. |